Tuesday, November 4

Pasar 247


PASAR 247

“Alahai..ummi...pasar ikan pun nak pergi”
Komen anak di dalam kakao talk. Ketika kami merancang jadual  di Korea nanti.
“Eh mestilah .Abang dah berhutang sebab masa pergi dulu tak sempat bawa. Kali ni mesti pergi juga”  Saya mengugut.
Usai solat subuh di hari  ketiga selepas tiba di Seoul, kami sudah di hentian. Bas biru  yang tiba masih kosong. Kami menukar bas sekali lagi sebelum turun di Stesen Noryang-jin. Mata sudah teruja melihat papan tanda Fish Market; pasar ikan terbesar di Seoul yang menjual secara borong dan runcit.  Kalau naik teksi kabarkan sahaja hendak ke “Noryangjin su-san shi-jang”. 


Sebaik menuruni tangga jejantas hati sudah bersorak riang. Subhanallah!!!  Besarnya pasar ini.  Kalau saya sentiasa teruja bila menjejak kaki ke Pasar Siti Khadijah di  Kota Bharu,  inikan pula di sini. Pasar yang sungguh besar tapi disusun begitu rapi mengikut jenis hasil laut yang diperdagangkan.
Pendangan  dari atas  sahaja sudah memukau mata .Gandingan  warna hasil laut  ciptaan Allah , apron serta topi ajjuma dan diserikan pula dengan lampu-lampu yang bergantungan. Semua ini menghasilkan satu seni yang tidak mudah ditolak lensa kamera.


Memang rambang mata dibuatnya. Nampak siput saja, rasa nak pegang. Nampak ikan nak tempuh .Cuma bila nampak sotong  kurita ..isy....tak beranilah pulak sebab masih hidup dan jarinya menjalar-jalar.Geli..Tiba-tiba teringatlah pulak siri National Geografic tentang seorang penyelam ditelan sotong kurita.
Ketamnya....Masyaallah. Besarnya!  Ini bukan ketam nipah lagi King Crab kot. Bisik  Encik  Suami . Dia   meminta ajjuma  bertopi  merah menimbang seekor ketam merah.  Tahu tak  berapa beratnya ? 2.5kg , Dan  harga sekilo 54,000KW=300+RM. Untuk kami dia  tawarkan 50,000KW sahaja. Tapi kami menolak dengan baik sekadar teruja dengan kehebatan makhluk Allah itu.
 Kata ‘Ammar  “ Snow crab ni banyak pada musim sejuk. Kalau nak makan kena pejam mata sahaja dan ummi tolong jangan tukar ke RM.Alamat tak merasalah nak makannya.”
“Kalau nak beli pun.Adakah periuk besar  di rumah tu nak dimasaknya?”
“Orang beli bukan masak di rumah. Kita pilih dan nanti bawa naik restoran tingkat atas. Cakap nak rebus , kukus atau bakar...eh silap ..gril..kukus..panggang..kukus”
“Ingat ni iklan Panasonic ke?” Saya mencubit lengannya. 
Ummi ni dari abang kecil sampai besar tak habis –habis  bagi ketam batu kat abang “  
Kami ketawa sambil menepi bila ada suara ajjusi menjerit meminta laluan. Saya memerhati  pergerakan mereka. Begitu pantas meskipun bebanan yang dibawa tidak setimpal dengan tubuh kecil mereka. Menoak sambil berlari pantas di lantai yang basah ini.
Encik Suami sudah bergerak ke  hujung sana. Menala lensa kamera tanpa jemu-jemu.  Hobi yang dibawa sejak zaman muda dan kini diwarisi anak-anak . Jika dulu kami banyak merakam gambar anak-anak tetapi berlalunya masa dan meningkatnya usia objek-objek biasa dan luar biasa pula  menjadi pilihan . Kata orang  a picture speaks a thousand words. Merakam sebahagian  nikmat  Allah  sambil merenung ke dalam diri sebanyak  mana pula kita  menzahir rasa syukur itu.



Mata terus melingas entah apa yang dicari.  Menghargai kayanya   hasil laut yang Allah anugerahkan kepada hambaNya di bumi sebelah matahari naik ini Ada banyak sangat pilihan. Ikan berjenis-jenis, ketam ,udang, sotong dan siput beranika rupa , rasa dan sais. Yang hidup, yang mati tetapi semuanya segar-segar belaka.Dan harga yang ditawarkan hampir seragam.
Setiap kali ingin membeli pasti kami ditanya mahu digaramkan atau tidak. Pada mulanya saya menolak tetapi bila memahami  apa yang cuba diterangkan saya bersetuju. Rupanya  fungsi garam itu membantu mengekal rasa segar ikan. Bila pulang nanti dibersihkan  sahaja jika tidak mahu.
 Oh ya!! Sekadar pengetahuan ,  garam di Korea ini ada berbagai jenis  rupa , kandungan mineral di dalamnya dan tahap kemasinannya. Garam buluh yang terkenal di Malaysia itu berasal dari Korea rupanya. Setiap kali memasak saya selalu ditegur kerana lauk yang  agak kurang rasa. Err.saya memang  kurangkan garam. Mencegah lebih baik dari mengubati. Itu pesan Puan Ruqayyah, Pakar Dietetik dari HUSM ya!!


Selesai membeli di bahagian hadapan  kami berjalan—jalan melihat berbagai-bagai  barangan yang didagangkan. Ada yang telah dijerukkan  dan ada yang telah dikeringkan. Ikan besar-besar dari laut dalam seperti Salmon dan tuna juga terdapat di bahagian ini. Jika anda pengemar telur ikan bermacam jenis telur ikan yang ditawarkan. Buat gulai sedap ni!!
Rupanya makin ke dalam kita masuk makin murah harga yang ditawarkan. Kualiti ikannya juga makin berbeda namun semuanya masih segar-segar lagi. Nama pun pasar janganlah berharap sangat dapat layanan macam di supermarket. Kasut mesti sesuai dan bersedia jika kasut yang mahal tersimbah air yang sentiasa dialirkan bagi tujuan pembersihan.
Menurut ‘Ammar  syarikat-syarikat besar Korea biasanya  ada memberi kupon untuk pekerjanya berbelanja di pasar. Bertujuan menggalakkan warganya berbelanja di pasar tradisional sambil membantu peniaga di sini. Persaingan dengan hypermarket sangat sengit. Bukan di negara mereka sahaja di negara kita pun hypermarket tumbuh bagai cendawan. Sudah pasti mereka mampu menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding kedai runcit di kampong. Sudah pasti juga mampu menarik hati bakal pelanggan dengan segala kelebihan yang ada. Semua orang bersaing merebut secebis kek yang makin mengecil setiap hari.

“ Di sini ada  tak jual katak ?”

“Isy..ni pasar ikan lah ummi. Kalau nak kaki katak , cengkerik tu kena pergi tempat lain”

“Tak naklah..saja tanya.Bukan mereka ni makan segala jenis benda?”

Tiba-tiba saya teringat Pasar Pudu yang dikunjungi berpuloh tahun lalu. Masih terbayang bagaimana seorang peniaga  China memotong biawak  bersebelahan gerai ikan haruan yang dicari untuk mengubat penyakit lelah arwah mak.
Kami berhenti seketika melihat seorang ajussi menyauk seeekor sotong kurita yang agak besar..  Berkocak-kocak air dalam akurium itu ketika sang kurita melekat kuat di dinding akuarium. Dia tahu selagi jari-jari masih kuat mencengkam selagi itulah nyawa mampu dipertahanankan.

 Restoran di tingkat atas bersedia bila-bila masa untuk  membersih dan mencencangnya halus-halus atau kasar-kasar. Ikut kehendak pelanggan.   Pelanggan hanya perlu mencelup sotong mentah ini ke dalam sos bijan sebelum menyuapnya  ke mulut.  Meski pun agak menakutkan bila melihat sotong itu masih mengelepar di dalam pinggan. Tetapi demi memuaskan deria rasa dan keinginan  manusia mampu melakukan apa sahaja. Mereka yang pernah mencuba hidangan ini memuji  rasanya  yang manis dan isinya yang agak kenyal.. Jika masih terasa sotong terlekat di kerongkong cepat-cepat  dilalukan dengan segelas dua air. Saya ni bukan main lagi membayangkan jika jejari sotong itu membelit organ-organ dalam badan kita.

Betullah kata Ar Rasul.
Uncang makanan itu tempat sarang penyakit dan punca segala penyakit  dari makanan yang terlalu banyak, juga sabda Baginda yang bermaksud : “ berpuasalah kamu nescaya kamu menjadi sihat.” 

‘Ammar mengajak  saya ke bahagian belakang pasar.Di sana sedang berlangsung lelongan hasil laut. Khabarnya lelongan bermula sejak jam satu pagi dan tamat pada jam sepuloh pagi. Setiap pembida akan menekan satu alat dan jika harga yang ditawarkan diterima maka jurulelong akan pergi kepada barangan seterusnya.
Satu demi satu lori berlalu pergi bersama barang yang berjaya dibida. Hasil laut yang tadi telah melalui perjalanan yang panjang dan lama untuk sampai  ke sini kini terpaksa menempoh satu lagi perjalanan ke satu lagi destinasi yang tidak diketahui. Pasar tetap meriah meski hari kian meninggi.   Saya  pula merasa risau tak penatkah mereka berkerja tanpa henti ? Tujuh hari  seminggu dan dibuka  dua puloh empat  jam sehari. Saya melihat mereka makan dan minum ditempat mereka berniaga.

Kata Encik Suami  apalah  yang dipelikkan.  Jika pelanggan di luar sana sanggup menjual maruah dan harga diri untuk mendapat sedikit keenakan. Sudah pasti mereka sebagai peniaga sedia menawarkan apa yang pelanggan inginkan. Pasar ini menjadi  nadi kehidupan warga Korea. Dari sini hasil laut bergerak masuk ke hotel, ke restoran, ke rumah hatta ke istana Presiden atau Rumah Biru. Dan ada juga yang merentasi laut untuk bergerak keserata negara yang ada di dunia. Hebat sungguh Pasar Noryang-jin ini.

Saya berjalan perlahan-lahan menyusuri kedai-kedai yang menjual  hasil laut yang dikeringkan di bahagian paling belakang pasar. Kelihatan  ikan kering,sotong kering,  udang kering, ikan bilis, siput kering sehingga rumpai laut yang dikering bergulong-gulong banyaknya.Digantung disusun begitu kemas dan bersih sekali. Meskipun hanya sebuah pasar tetapi saya melihat ajaran Islam tercerna di sini. Tiada bau busuk yang menikam hidung atau mata yang sakit melihat sampah atau sisa jualan dibuang di sana-sini. 

Saya  mencari jawapan sendiri. Bagaimana mereka mengatur rakyat mereka hingga tiada yang membuang sampah merata-rata.  Meskipun  tangan berat membimbit barang belian tetapi hati lebih berat memikir bagaimana mahu merubah budaya masyarakat di tempat sendiri.

Di hujung hari  kami  berjaya membawa pulang sekilo udang dengan  harga 25,00KW, ikan tenggiri dua ekor 3,000KW, sotong sejuk beku 4,000KW untuk enam ekor  (sotongnya sais sotong kering ) , ikan sebelah  3,000KW dan ikan  parang juga 3,000KW.  Sambil bergerak ke Stesen Noryang-jin saya mencongak di dalam minda jumlah wang yang dibelanjakan. . Lebih kurang  40,000KW=RM120.00 .Biar betul??? Salah kira kot? Saya menyedapkan hati.


Namun Itulah realiti hidup. Jika  ingin menumpang teduh di negara berpendapatan  tinggi maka bersedialah juga untuk mengalirkan semula wang tersebut dengan lajunya dari dompet dan akaun  bank kita. Itulah rahsia untuk tinggal lama di Korea Selatan.

Monday, August 15

Won Versus RM

"Abu, ummi kita kena gerak sekarang.Kawan-kawan sudah menunggu di stesen”
“Oh..okay…Sayang  banyak lagi belum sempat tengok” suami  mengeluh.
“Tak apa..nanti kita datang  semula. .Abang tahu abu mesti nak lama-lama di sini”
Kami mengikut langkahnya tanpa banyak soal.
Di perhentian bas  kelihatan 3 rakan seuniversiti   sedang menunggu.Saya bersalaman dengan dua rakan wanita sebelum kami bergerak ke Stesen  Sungkyukwan University.
“Lamanya pergi SKK” tegur Haz.
“Lama..? Rasa macam sekejap saja”  sahut suami saya.
“Tengok apa, pak cik?”
“Oh! Macam-macam .Tu belum pergi semua tempat lagi. Baru blok mekanikal”
“Orang mekanikal mesti nak tengok mekanikal jugak”usik ‘Ammar.
“O…pak cik pun mekanikal jugak? ‘Ammar pun mekanikal” H terkejut.
“Jangan terkejut”
“Kenapa pak cik?”
“Adik ‘Ammar pun mekanikal, menantu pun mekanikal. “
“Wah! Ramai tu..nanti boleh buka firma consultant”
“Abu jadi sifu” sampok ‘Ammar.  Haa...haaa..
Kami di belakang  tersenyum mendengar perbualan mereka. Keretapi yang ditunggu pun sudah tiba. Ada lapan line pi semuanya.Patutlah tak berhenti-henti bunyi  keretapi malam tadi
Mudahnya jika tahu mengguna teknologi
Untuk ke  Pasar Nam Dae  Mun kami  menukar keretapi di Stesen Geumjong . Dari Subway  Line 1 ke Subway Line 4. Kad T money macam kad Touch N Go tu diguna secara meluas. Setiap stesen tersedia  mesin untuk melihat baki  dan menambah  nilai.  Mudah dan lebih murah.Kadang-kadang KTO ada memberi kad T money percuma untuk pelancong. 

Di Stesen   Hoehyeon   penumpang   berpusu-pusu turun.  Kami mula berpecah.   Ditemani  dua rakan wanita tadi saya  berjalan-jalan di celah-celah orang ramai. Nam Dae Mun  bererti Gerbang Besar Selatan ".merupakan pasar tradisi terbesar di Korea.  Kalau anda gemar bershopping disinilah tempatnya.  Pakaian, barangan dapur, cenderamata, kerongsang,beg,  asesori wanita  dan macam-macam lagi  dengan harga yang  murah. Ada  beberapa Gate untuk masuk ke sana. Beroperasi dari jam 8 pagi hingga 3 pagi. Waktu malam biasanya dipenuhi peruncit-peruncit yang datang membeli barang untuk jualan. Kedai-kedai ditingkat atas kebanyakkannya dibuka sehingga  sehingga jam 5petang.
Perempuan mesti berminat dengan perkakas dapur
Pasar ini lebihkurang  macam   Petaling Street tetapi dalam skala yang amat  besar dan lebih banyak  barangan dijual di sini.  Kami segera naik ke tingkat dua untuk mencari brooch. Rambangnya  mata  melihat begitu banyak dan cantik-cantik pula designnya.   Kadar Korea Won ialah 3 kali ganda berbanding RM Malaysia. Bagi  mendapat nilai mata wang Malaysia darab saja dengan 3.  Jika semua benda mahu ditukar ke mata wang kita akhirnya tak ada satu benda pun yang boleh dibeli.

Saya memilih beberapa cenderamata untuk saudara, jiran dan teman rapat. Walaupun harganya agak tinggi tetapi bila mengenangkan bukan selalu kita memberi sesuatu kepada orang, apa salahnya berbelanja sedikit.Rata-rata peniaga tidak boleh berbahasa Inggeris, mujur ada dua rakan wanita tadi.Mereka yang membantu tawar menawar.Harganya bermula 1,000 won.. Antara cenderamata jadi pilihan tentulah rantai kunci, dompet duit dan magnet peti sejuk.


Selesai membeli kami berjalan-jalan melihat . Kami berhenti melihat  beberapa wanita  sedang sibuk memotong baju tradisi wanita Korea, hanbok. Orang Korea gemarkan warna-warna yang terang dan berwarna-warni. Kami naik pula ke tingkat atas melihat-lihat perkakas dapur yang dijual. Jika ingin membeli pinggan mangkok, sudip, sudu dsbnya memang banyak pilihan di sini.  Rambang mata melihatnya. Puas berjalan kami pun melangkah mencari ruang untuk solat pula. Kami bertemu dengan kumpulan 'Ammar. Mereka sudah mencari tempat solat dan kami segera ke tandas wanita untuk mengambil wudu'.Usai solat kami berjalan mencari kedai makan.

Belajar makan cara orang Korea makan

Kami ingin mencuba belut bakar jung uh gui. Menunggu belut dibakar kami dihidangkan sebotol air  yang baru dikeluar  dari peti ais. Macam yang kita selalu guna di rumah. Kami belajar makan kimchi dan segala jeruk yang datang bersama belut yang dipesan tadi. Tidak berapa selesa mengguna chopstik kami meminta sudu. Lucunya hanya ada satu sudu sahaja di kedai itu.Suka mencuba saya terus terkial-kial dengannya. Sedap juga rupanya makanan Korea. Rugi rasanya jika berjalan dan tidak dapat menikmati makanan tradisi mereka. Insyaallah selagi tiada yang haram dan syubhah saya tidak menolak. Masing-masing tunduk mengadap mangkok masing-masing.

Keluar dari kedai makan kami memutus ke Itewon. Seoul Central  Mosque terletak di sini .Supaya tidak termengah-mengah mendaki bukit kami singgah di kedai-kedai di kiri kanan jalan. Sekadar menjengok barangan yang dijual. Di sinilah tempat mendapatkan bekalan daging halal.Restoran halal juga banyak. Rempah ratus, barang dari Malaysia juga ada. Harganya pasti jauh lebih tinggi. 

Akhirnya kami tiba di Seoul Central  Mosque. Saya menemani A solat. Bertemu beberapa pelajar Malaysia yang selesai solat. Pengunjung Korea juga ramai yang  datang melihat-lihat.Di perkarangan masjid ada sebuah sekolah yang ditubuhkan bagi mendidik asas-asas Islam.Sebagai minoriti tentu banyak kekeliruan yang akan dihadapi oleh anak-anak Islam ini.Jika tidak dibetulkan dari awal tentu sukar mereka mengamalkan ajaran Islam dan menjalani cara hidup Islam bila dewasa kelak.

Sabar beratur menunggu bas datang
Selepas mendapat bekalan daging segar dan barang dapur kami bergerak pulang. Di hentian bas orang berbaris panjang. Mengikut destinasi yang hendak dituju.Sambil menunggu ada yang membaca buku, mendengar lagu, membaca berita dari I phone atau sekadar berdiri tegak. Tidak ada yang berbual-bual .Ini berbeda dengan budaya Malaysia. Kita bebas menegur dan memulakan perbualan. Lain padang lain belalang. 
Tidak perlu  lama menunggu bas pun tiba. Bersopan  sungguh orang-orang di sini  menaiki bas.Tidak ada tolak menolak atau berebut-rebut. Sekali lagi saya perlu bersedia dengan T Money. Berguna betul kad ini. Boleh digunakan untuk naik turun bas dan keretapi.


Saya memang suka cherry.. Besar -besar dan manis.
Bas bergerak. Saya menghalakan lensa ke cermin tingkap. Macam-macam pemandangan cantik ditemui. Jika di Malaysia kita sering melihat bunga kertas dan tumbuhan berdaun ditanam di tepi-tepi jalan.Di sini pokok rose menjadi pilihan. Saya yang gemar menanam pokok rose tidak melepas peluang merakam semua panorama indah ini. Walaupun perjalanan dengan bas agak lama tetapi pemandangan di luar tingkap menghilang rasa penat itu.  Mujur kami sudah keluar dari Seoul ketika tamat waktu bekerja..Jika tidak sudah pasti terperangkap dalam kesesakan jalanraya. Tiba di rumah sudah hampir 7 malam. Kami singgah mencari sayur dan buah-buahan. Ketika ini buah-buah cheri, melon, anggur dan tembikai sedang bermusim. Saya mencapai sebekas resberi, blueberi dan anggur. Menunggu bilik air kosong saya segera mencapai rice cooker. Maghrib akan masuk beberapa minit sahaja lagi. Usai solat insyaAllah boleh terus makan.  dan masa untuk update berita ke Malaysia. 

Friday, August 5

Di Bawah Pohon Gingko

Saya suka pintu gerbang yang berseni. ini.
Seawal jam 3 pagi kami dikejutkan. Terpisat-pisat bangun. Lupa musim panas subuhnya awal dan sang mentari pula  muncul menjelang jam 5 .  Jika diikutkan hati mahu saja terus menarik gebar dan melayan mata.Tapi tegakah kita berlagak sombong dengan Tuhan. Terlalu banyak nikmatNya  yang kita pinjam  saban  hari.Dan amat  sedikit masa yang kita luang untukNya.


Saya menolak pintu bilik air.Dingin  pagi  melambatkan langkah .Air paip  mengalir bagaikan ais .Menyentak.Menyedarkan  saya sepenuhnya. .Oh! Lupa memutar laras air panas. Terus terimbau kenangan ketika musim dingin di Brighton.  Bergagah mengambil wudu' demi janji dengan Ilahi. Tika hidup penuh nikmat dan kemudahan  masih sukar memberi seratus peratus hati kepada Allah. Betapalah mereka , saudara seagama di Palastine, Afganistan, Iran dsbnya yang terpaksa tinggal di celah-celah runtuhan bangunan atau gua-gua. Terkenangkan ini  saya segera menyudahkan wudu' dan memberi ruang untuk suami pula.


Kata anak, di musim panas mereka akan studi  sehingga masuk waktu subuh.Usai solat baru tidur dan bangun untuk ke kelas jam 9pagi. Usai solat sudah pasti  mata minta dimanjakan kembali. Hanyut lagi .
Suasana rumah sunyi sepi. Saya sudah tidak dapat tidur walaupun jam baru menunjuk angka 6. Cahaya terang sang mentari menikam mata lewat jendela kaca. Enjin keretapi atau Korail  pula makin kerap melintas di bawah bukit sana. Saya terkenang landasan berkembar yang sedang dibina di tanahair. Apakah nanti keretapi akan silihganti sekerap ini? Bersediakah penduduk disepanjang landasan menerima pencemaran bunyi sebegini? Teman di sebelah tidur menggunakan eye mask .Biarlah. Saya sudah puas tidur. Masa untuk bangun. Menikmati  pagi di tempat orang.


Saya ke dapur. Angin sejuk dari jendela sedikit terbuka menerpa masuk. Mengintai melihat rumah jiran . Di pohon magnolia ada burung kecil menyanyi riang. Melihat dapur yang comel ini saya tersenyum sendirian. Terlayang pantas  ingatan ketika tinggal di East Slope.Kami berkongsi dapur dengan 3 pasangan lain. Ketika orang lain sedang tidur saya sudah kelentung kelentang di dapur. Saya suka masuk ke dapur ketika orang lain tidak ada.Ini memudahkan saya memasak tanpa rasa terganggu. Hinggalah pada satu  pagi seorang pelajar universiti   masuk ke dapur hanya dengan berseluar pendek (tidur).Baik orangnya. Rajin menyapa bila bertembung. Dia berdiri di belakang saya pun sekadar beberapa minit sahaja . Mengeluar  susu dari peti sejuk. Tapi bila memikirkan berbagai kemungkinan . Hanya saya dan dia . Saya jadi takut sendiri.  Mujurlah masakan saya sudah siap.Cepat-cepat memadam api saya mengangkut periuk masuk ke bilik. Sejak itu saya memutuskan  mesti ke dapur ketika orang lain tidur atau tiada di rumah.


Burung kecil tadi tiba-tiba terbang. Saya kembali ke dunia nyata.  Saya membuka rice cooker.Nasi semalam masih berbaki. Tanpa berlengah saya  menyiapkan bahan dan terus menumis. Jam sudah 8 pagi. Seorang demi seorang ahli rumah mencari bilik air. Sebelum jam 9 pagi kami sudah siap bersarapan.

lain rumah lain pula corak pintu gerbangnya.
Destinasi pertama kami tentulah ke SKKU  atau Seongde .Nama panjangnya Sungkyunkwan Universiti(susah-susah sebut aje  sengkuang).  Peminat drama Korea tentu pernah mengikut drama Sungkyunkwan Scandal. Drama ini berkisar pelajar Sungkyunwan pada era Joseon. Berligar perebutan tempat dan ujian masuk ke situ. Saya tidak pernah menonton drama ini tetapi sinopsisnya saya dapat dari Korea Tourism Organisation (KTO). Dalam web mereka ada dicadangkan kepada pelancong tema-tema perjalanan mereka. Jika ingin melawat lokasi pengambaran drama dan movie ada dinyatakan tempat-tempatnya. Mereka menjaga dengan baik tempat-tempat begini dan saban tahun berjuta pelancong dan peminat drama Korea datang melawat. Sekadar  melihat tempat si hero atau heroin pujaan mereka pernah beraksi. Taksubnya masyarakat dengan drama Korea ni. Contohnya Pulau Nami, lokasi pengambaran drama Winter Sonata terus menerima kunjungan pelancong. Drama ini yang satu masa dulu menjadi fenomena di Malaysia di namakan sempena nama seorang jenderal Korea. Kami  tidak pula memasukan pulau ini dalam jadual  meskipun kawan dan jiran sibuk mengusulkan.

Kami belajar bergerak pantas menuruni bukit  dan anak tangga. Berjalan  ke SKK. Suami dan anak sudah jauh di hadapan. Sekali sekala mereka menoleh ke belakang mencari saya.  Saya teruja melihat semua benda yang ada di depan mata. Semua benda mahu dirakamkan  dengan lensa. Meskipun bukan pertama kali ke negara orang tapi saya tetap teruja melihat budaya masayarakat di sini. Patutlah Allah menyuruh kita mengembara. Fansuru.  Berjalan melihat tanda-tanda kebesaranNya. Dia yang menjadi manusia bersuku-suku dan berbangsa-bangsa.


Rajinnya  mereka.
Di sini setiap sudut tanah dipenuhi tanaman. Kata anak,  orang Korea memang rajin. Asal ada tanah mesti tidak dibiar kosong. Saya lihat ada pokok timun, kacang panjang, cili, melon, daun bawang dan kucai. Komen suami "Kalau orang Korea datang ke Malaysia dah kaya raya mereka kerana banyak tanah yang mereka boleh usahakan. "


Di bawah lebuhraya berhampiran Stesen Keretapi Sungkyunwan University, kelihatan nenek-nenek tua , hal-moh-nee sedang berbual sambil menunggu jualan mereka. Ada satu talam besar dengan berbagai piring kecil di hadapan mereka. Di tangan masing-masing ada semangkok nasi. dan sepasang chopstik. Sambil berbual mereka berkongsi hidangan. Beginilah cara mereka meniti hari. 

Rata-rata mereka berusia 60-80 tahun. Masyaallah,  kalau di Malaysia pada usia itu rata-rata kita sudah tidak larat lagi mahu bercucuk tanam, berjualan dan melakukan aktiviti lasak.Sepanjang jalan  saya bertembung ramai   hal-moh-nee /hal-ah-poo- jee yang giat melakukan berbagai aktiviti. Malah sempat mengambil gambar seorang nenek  yang sudah bongkok   bertongkat sedang  menuruni bukit.  Malu saya mengenangkan..

“Ummi...cepat sikit " anak melaung. Mereka nun jauh di hadapan.  Saya melajukan langkah dan sebenarnya kami sudah hampir ke pagar SKKU. Saya suka motto ini " Unique  Origin,Unique Future". Betul tu jika kuat jati diri anak-anak kita hari ini sudah pasti mereka juga hebat di masa hadapan. Bukankah ada satu perpatah jika ingin melihat generasi masa hadapan lihatlah generasi muda masa kini.  Universiti ini diasaskan pada tahun   1398  pada pemerintahan King Taejong. Teduhan pohon  gingko menyamankan perjalanan kami.Patutlah ada  daun gingko di lambangnya. Gingko sering dikaitkan sebagai makanan untuk minda.Kabarnya,  daunnya bisa mengubat penyakit nyanyuk. Di sini bertaburan daun gingko menghiasi laman. Kutiplah selagi tangan terdaya menampong.
Itulah  pohon gingko 

Sebagai warga universiti sudah pasti suami saya tidak melepaskan peluang  keemasan ini. Kami ke Blok Mechanical  Engineering. Kami masuk ke bilik kuliah. Berhenti di makmal komputer.Berlama-lamaan di hadapan bilik pensyarah.Menjenguk ruang diskusi. Mengutip segala buliten, phamplet tentang reaseach dan aktiviti fakulti. Tanpa sadar sudah sejam lebih kami di sini.

Wajah suami tergambar keceriaan luar biasa. Dia yang menghampiri usia persaraan wajib sentiasa penuh dengan cita-cita dan keinginan. Meskipun adakala tidak dihargai segelintir pelajar. Saya yang berkongsi hidup dari zaman pelajar hingga  dia melangkah ke alam pekerjaan tentu sekali turut berkongsi kekeciwaannya. Ketika dia begitu ingin dan berkobar-kobar memberi sebanyak mungkin ilmu kepada pelajar tidak semua pelajar yang  beriya menimba ilmu darinya. Budaya serba selesa sebenarnya telah membunuh jiwa anak-anak kita sedikit demi sedikit. Peluang diberi tempat belajar walaupun keputusan SPM tidak seberapa tidak dihargai langsung. Saya teringat kembali betapa sukarnya ketika zaman saya. Dengan pangkat 3 MCE/SPM jangan harap ada peluang ke ITM. Kalau bernasib baik dapat juga masuk kursus-kursus yang memerlukan kelayakan subjek yang rendah. Untuk dapat pra diploma pun payah. apatah lagi  program  Engineering. Jangan haraplah. Patutlah ketika itu graduan ITM sangat laku di pasaran kerja. Itu kisah berpuluh tahun lalu meskipun ITM sudah berubah wajah namun Uitm tetap di hatiku. Zaman sudah jauh berubah peluang belajar sudah jenuh. Hinggakan jenuh pula kita memujuk anak-anak kita supaya rajin belajar. Pandai guna peluang yang ada .Dengan harapan ilmu yang ditmba serta pengalaman belajar di menara gading akan menjadikan mereka bijaksana bila keluar ke tengah masyarakat nanti. Zaman yang berubah sepatutnya dilaraskan dengan keazaman, ketekunan dan kegigihan untuk menjadi orang yang berilmu. Bukankah Allah telah berjanji meninggikan darjat orang yang berilmu berbanding dengan yang  tidak berilmu.Masih berpeluangkah kita membina  unique origin untuk melahir  unique future ? Kami perlu segera beredar kerana ada ada satu lagi temujanji.Telefon pun makin kerap berdering.Kami sudah sangat  lewat. Afwan!!!


Di  pintu masuk utama Samsung Digital Library SKKU

Thursday, August 4

KUL-ICN

Awan gemawan  putih bak kapas menguja pandangan 
 Cuaca baik sekali. Kami tiba di LCCT tepat jam 9.20 pagi. Selepas mengambil bagasi   kami segera mencari tempat makan. Pilihan kami  kopi, roti bakar dan telur. Sudah lama saya tidak terbang jauh. Risau juga jika masih mabuk macam dulu-dulu. Apa yang dimakan habis keluar semula. Selesai bersarapan kami berjalan-jalan melihat sekitar LCCT. Penat berjalan kami mencari tempat duduk. Suami membuka laptop. Saya cuba membaca tetapi  suasana hiruk pikuk menghalang tumpuan. Akhirnya saya hanya duduk memerhati orang di sekeliling. Di  hadapan saya seorang wanita Indon sedang nyenyak tidur .Selesa bangat nampaknya. . Letih atau bosan terlalu lama menunggu penerbangan.



Mengusir waktu di LCCT
Jam 11.30 pagi kami beredar  ke kaunter S25. Mujur sudah print boarding pass lebih awal jadi kami cuma perlu bag drop sahaja. Alhamdulillah..ngam-ngam saja 20kg. Kalau lebih kena bayar setiap 1kg=RM40.  Kami memang bawa sebuah  beg besar. Maklumlah kudrat suami yang baru lepas operation tu kena juga diambilkira.


Pukul 1 petang  masa untuk  pemeriksaan  keselamatan. Cuaca panas terik ketika kami bergerak ke pesawat. Kabin krew tersenyum manis menyambut . Kami segera ditunjuk  tempat duduk. Kerusi  sebelah suami masih kosong,.  Kalau mahu lebih  selesa  bolehlah memilih primeum  atau   hot seat. Tapi memikirkan penerbangan sekitar 6 jam sahaja kerusi ini sudah memadai. .. Tepat jam 13.55, flight D7 2682 pun berlepas. Hati saya tidak berhenti berzikir. Kuasa manusia tidak akan mampu menolak apa juga yang ditakdirkan. Doa saya agar kami selamat tiba ke destinasi.

Penat membaca saya mula  melelapkan mata .. Terjaga ketika makanan yang ditempah sedang disajikan. Menu pilihan kami nasi lemak pak Nasir dan Smokey BBQ Chicken . Maggi  hot cup nampaknya menjadi pilihan ramai penumpang.

Sebaik menolak styrofoam saya kembali  membaca. Buku Travelog Impian Hidup Abadi  sukar untuk dilepaskan.Perjalanan hidup tulisan isteri  Prof  Kamil begitu  menyentuh hati.  Dia yang membesar sezaman dengan saya begitu pandai menyusun kata . Saya sendiri terasa bagai kembali ke zaman lampau. .Sesekali  perbualan  penumpang Malaysia di belakang kami  agak menganggu. Kuat sungguh suara mereka sehingga dapat didengar segala buah butir. Suami saya memasang I phonenya mendengar bacaan qur'an. Merehatkan mata saya menekap muka ke cermin . Awan putih bak salji di bawah sana. Saujana mata memandang. Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah.




Keletihan  segera hilang bila kaki memijak bumi 
Suami membangunkan  saya . Sejam lagi kami dijangka tiba. Penumpang lain turut   beratur di depan tandas. Ditempat duduk   kelihatan rata-rata  penumpang  masih tidur, ada yang sedang membaiki make up , menonton dvd  dan sekadar berbual kosong.. Pesawat terus membelah kedinginan malam.  Borang imegrisen mula diedarkan.Kami mula membuka pasport masing-masing.


"We are approaching Incheon International Airport, the weather is fine " Saya memandang ke luar cermin. Nun jauh di bawah sudah kelihatan cahaya lampu berbalam-balam. Pesawat sedang merendah  dan saya terus berdoa. Mudahkanlah urusan kami nanti. Tepat jam 21.15 jam South Korea (8 malam waktu Malaysia) kami selamat tiba.Berguguran airmata membasahi pipi. Saya tidak pernah berangan-angan untuk ke sana. Tetapi bila Allah mengkehendaki maka jadilah. Manusia merancang tetapi Allah itu sebaik-baik perencana.


Pertama kali tiba di Incheon.sudah pasti kami teruja.Antara lapangan terbang terbaik di dunia.  Incheon kabarnya dibina di sebuah pulau buatan mengganti Airport Gimpo. Kami bersabar menunggu urusan imegresen  .Terus ke Gate 11 untuk mengambil bagasi. Segalanya berjalan lancar. Kami segera keluar.Bas terakhir ke Seo Suwon Bus terminal bertolak pada jam 10.30 malam.


Di balai ketibaan 'Ammar dan rakan-rakannya sudah menunngu. Selepas bergambar kami segera beredar keluar. Bas di sini biasanya tiba tepat pada masanya . Meskipun malam menghalang pandangan tapi saya tetap cuba menikmati suasana yang ada. 2 jam dijalanan   kami tiba di Suwon. Perlu pulak  mengambil teksi ke rumah anak di Yuljeon-dong. Tiba di rumah hari sudah dinihari. Kami membersih diri dan solat sementara anak pula sibuk memasak . Alhamdulillah, dapat juga mengalas perut  meskipun sekadar telur dadar dan ikan bilis goreng


Kami masuk tidur hampir jam 1.30 pagi. Sekali dua tidur terganggu .Bunyi enjin keretapi laju membelah malam.begitu jelas dipendengaran.  Suami seperti biasa tidak mudah melelapkan mata. Maklumlah malam pertama di tempat orang.Bila beralih tempat tidur tentulah mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Saya yang mudah tidur sudah pasti ghaib ke alam mimpi walaupun bagaikan terasa masa terawang-awang di udara.
Terima kasih Allah mengizinkan segalanya.

Saturday, July 16

Penang ke LCCT


17hb Jun, 2011: 5.30 pagi:Jumaat

Awal pagi  kami sudah bertolak . Kami tidak mahu terlewat kerana keadaan di Jambatan Pulau Pinang sukar diramal.Hari ini hari Jumaat. Kata suami jika kita bertolak sebelum subuh, dia tidak wajib solat Jumaat. Sebaik melangkah keluar rumah kami sudah dikira musafir. Setiba di Byan Lepas, kami segera mencari surau. Rupa-rupanya surau sudah berpindah ke tingkat atas. Airport sedang diubahsuai. Usai solat kami berbaris untuk daftar masuk. Bagasi ditimbang 22kg. Alhamdulillah, kami tidak perlu membayar.Di KL belum tahu lagi.  Menanti waktu berlepas kami berbual santai dengan anak , menantu dan cucu. Kesian Haziq terpaksa bangun awal untuk menghantar kami. Cadangan asalnya kami bertolak ke KL dengan kereta tetapi kerana majlis pertunangan anak saudara kami memutuskan naik dari Penang sahaja.

Kami tidak menunggu lama .Selesai berpamitan kami segera masuk ke balai berlepas. Bermulalah satu perjalanan. Yang dirancang berbulan-bulan yang lain. Berbagai halangan yang mungkin membantutkan rancangan. Bila Allah mengizinkan sudah pasti tiada apa yang dapat menghalang. Semuga perjalanan ini diberkati dan membuka mata serta minda untuk melihat kepelbagaian bangsa manusia. Berjalan, melihat dan mentafsir Siiru A'la Barakatillah.