Friday, August 5

Di Bawah Pohon Gingko

Saya suka pintu gerbang yang berseni. ini.
Seawal jam 3 pagi kami dikejutkan. Terpisat-pisat bangun. Lupa musim panas subuhnya awal dan sang mentari pula  muncul menjelang jam 5 .  Jika diikutkan hati mahu saja terus menarik gebar dan melayan mata.Tapi tegakah kita berlagak sombong dengan Tuhan. Terlalu banyak nikmatNya  yang kita pinjam  saban  hari.Dan amat  sedikit masa yang kita luang untukNya.


Saya menolak pintu bilik air.Dingin  pagi  melambatkan langkah .Air paip  mengalir bagaikan ais .Menyentak.Menyedarkan  saya sepenuhnya. .Oh! Lupa memutar laras air panas. Terus terimbau kenangan ketika musim dingin di Brighton.  Bergagah mengambil wudu' demi janji dengan Ilahi. Tika hidup penuh nikmat dan kemudahan  masih sukar memberi seratus peratus hati kepada Allah. Betapalah mereka , saudara seagama di Palastine, Afganistan, Iran dsbnya yang terpaksa tinggal di celah-celah runtuhan bangunan atau gua-gua. Terkenangkan ini  saya segera menyudahkan wudu' dan memberi ruang untuk suami pula.


Kata anak, di musim panas mereka akan studi  sehingga masuk waktu subuh.Usai solat baru tidur dan bangun untuk ke kelas jam 9pagi. Usai solat sudah pasti  mata minta dimanjakan kembali. Hanyut lagi .
Suasana rumah sunyi sepi. Saya sudah tidak dapat tidur walaupun jam baru menunjuk angka 6. Cahaya terang sang mentari menikam mata lewat jendela kaca. Enjin keretapi atau Korail  pula makin kerap melintas di bawah bukit sana. Saya terkenang landasan berkembar yang sedang dibina di tanahair. Apakah nanti keretapi akan silihganti sekerap ini? Bersediakah penduduk disepanjang landasan menerima pencemaran bunyi sebegini? Teman di sebelah tidur menggunakan eye mask .Biarlah. Saya sudah puas tidur. Masa untuk bangun. Menikmati  pagi di tempat orang.


Saya ke dapur. Angin sejuk dari jendela sedikit terbuka menerpa masuk. Mengintai melihat rumah jiran . Di pohon magnolia ada burung kecil menyanyi riang. Melihat dapur yang comel ini saya tersenyum sendirian. Terlayang pantas  ingatan ketika tinggal di East Slope.Kami berkongsi dapur dengan 3 pasangan lain. Ketika orang lain sedang tidur saya sudah kelentung kelentang di dapur. Saya suka masuk ke dapur ketika orang lain tidak ada.Ini memudahkan saya memasak tanpa rasa terganggu. Hinggalah pada satu  pagi seorang pelajar universiti   masuk ke dapur hanya dengan berseluar pendek (tidur).Baik orangnya. Rajin menyapa bila bertembung. Dia berdiri di belakang saya pun sekadar beberapa minit sahaja . Mengeluar  susu dari peti sejuk. Tapi bila memikirkan berbagai kemungkinan . Hanya saya dan dia . Saya jadi takut sendiri.  Mujurlah masakan saya sudah siap.Cepat-cepat memadam api saya mengangkut periuk masuk ke bilik. Sejak itu saya memutuskan  mesti ke dapur ketika orang lain tidur atau tiada di rumah.


Burung kecil tadi tiba-tiba terbang. Saya kembali ke dunia nyata.  Saya membuka rice cooker.Nasi semalam masih berbaki. Tanpa berlengah saya  menyiapkan bahan dan terus menumis. Jam sudah 8 pagi. Seorang demi seorang ahli rumah mencari bilik air. Sebelum jam 9 pagi kami sudah siap bersarapan.

lain rumah lain pula corak pintu gerbangnya.
Destinasi pertama kami tentulah ke SKKU  atau Seongde .Nama panjangnya Sungkyunkwan Universiti(susah-susah sebut aje  sengkuang).  Peminat drama Korea tentu pernah mengikut drama Sungkyunkwan Scandal. Drama ini berkisar pelajar Sungkyunwan pada era Joseon. Berligar perebutan tempat dan ujian masuk ke situ. Saya tidak pernah menonton drama ini tetapi sinopsisnya saya dapat dari Korea Tourism Organisation (KTO). Dalam web mereka ada dicadangkan kepada pelancong tema-tema perjalanan mereka. Jika ingin melawat lokasi pengambaran drama dan movie ada dinyatakan tempat-tempatnya. Mereka menjaga dengan baik tempat-tempat begini dan saban tahun berjuta pelancong dan peminat drama Korea datang melawat. Sekadar  melihat tempat si hero atau heroin pujaan mereka pernah beraksi. Taksubnya masyarakat dengan drama Korea ni. Contohnya Pulau Nami, lokasi pengambaran drama Winter Sonata terus menerima kunjungan pelancong. Drama ini yang satu masa dulu menjadi fenomena di Malaysia di namakan sempena nama seorang jenderal Korea. Kami  tidak pula memasukan pulau ini dalam jadual  meskipun kawan dan jiran sibuk mengusulkan.

Kami belajar bergerak pantas menuruni bukit  dan anak tangga. Berjalan  ke SKK. Suami dan anak sudah jauh di hadapan. Sekali sekala mereka menoleh ke belakang mencari saya.  Saya teruja melihat semua benda yang ada di depan mata. Semua benda mahu dirakamkan  dengan lensa. Meskipun bukan pertama kali ke negara orang tapi saya tetap teruja melihat budaya masayarakat di sini. Patutlah Allah menyuruh kita mengembara. Fansuru.  Berjalan melihat tanda-tanda kebesaranNya. Dia yang menjadi manusia bersuku-suku dan berbangsa-bangsa.


Rajinnya  mereka.
Di sini setiap sudut tanah dipenuhi tanaman. Kata anak,  orang Korea memang rajin. Asal ada tanah mesti tidak dibiar kosong. Saya lihat ada pokok timun, kacang panjang, cili, melon, daun bawang dan kucai. Komen suami "Kalau orang Korea datang ke Malaysia dah kaya raya mereka kerana banyak tanah yang mereka boleh usahakan. "


Di bawah lebuhraya berhampiran Stesen Keretapi Sungkyunwan University, kelihatan nenek-nenek tua , hal-moh-nee sedang berbual sambil menunggu jualan mereka. Ada satu talam besar dengan berbagai piring kecil di hadapan mereka. Di tangan masing-masing ada semangkok nasi. dan sepasang chopstik. Sambil berbual mereka berkongsi hidangan. Beginilah cara mereka meniti hari. 

Rata-rata mereka berusia 60-80 tahun. Masyaallah,  kalau di Malaysia pada usia itu rata-rata kita sudah tidak larat lagi mahu bercucuk tanam, berjualan dan melakukan aktiviti lasak.Sepanjang jalan  saya bertembung ramai   hal-moh-nee /hal-ah-poo- jee yang giat melakukan berbagai aktiviti. Malah sempat mengambil gambar seorang nenek  yang sudah bongkok   bertongkat sedang  menuruni bukit.  Malu saya mengenangkan..

“Ummi...cepat sikit " anak melaung. Mereka nun jauh di hadapan.  Saya melajukan langkah dan sebenarnya kami sudah hampir ke pagar SKKU. Saya suka motto ini " Unique  Origin,Unique Future". Betul tu jika kuat jati diri anak-anak kita hari ini sudah pasti mereka juga hebat di masa hadapan. Bukankah ada satu perpatah jika ingin melihat generasi masa hadapan lihatlah generasi muda masa kini.  Universiti ini diasaskan pada tahun   1398  pada pemerintahan King Taejong. Teduhan pohon  gingko menyamankan perjalanan kami.Patutlah ada  daun gingko di lambangnya. Gingko sering dikaitkan sebagai makanan untuk minda.Kabarnya,  daunnya bisa mengubat penyakit nyanyuk. Di sini bertaburan daun gingko menghiasi laman. Kutiplah selagi tangan terdaya menampong.
Itulah  pohon gingko 

Sebagai warga universiti sudah pasti suami saya tidak melepaskan peluang  keemasan ini. Kami ke Blok Mechanical  Engineering. Kami masuk ke bilik kuliah. Berhenti di makmal komputer.Berlama-lamaan di hadapan bilik pensyarah.Menjenguk ruang diskusi. Mengutip segala buliten, phamplet tentang reaseach dan aktiviti fakulti. Tanpa sadar sudah sejam lebih kami di sini.

Wajah suami tergambar keceriaan luar biasa. Dia yang menghampiri usia persaraan wajib sentiasa penuh dengan cita-cita dan keinginan. Meskipun adakala tidak dihargai segelintir pelajar. Saya yang berkongsi hidup dari zaman pelajar hingga  dia melangkah ke alam pekerjaan tentu sekali turut berkongsi kekeciwaannya. Ketika dia begitu ingin dan berkobar-kobar memberi sebanyak mungkin ilmu kepada pelajar tidak semua pelajar yang  beriya menimba ilmu darinya. Budaya serba selesa sebenarnya telah membunuh jiwa anak-anak kita sedikit demi sedikit. Peluang diberi tempat belajar walaupun keputusan SPM tidak seberapa tidak dihargai langsung. Saya teringat kembali betapa sukarnya ketika zaman saya. Dengan pangkat 3 MCE/SPM jangan harap ada peluang ke ITM. Kalau bernasib baik dapat juga masuk kursus-kursus yang memerlukan kelayakan subjek yang rendah. Untuk dapat pra diploma pun payah. apatah lagi  program  Engineering. Jangan haraplah. Patutlah ketika itu graduan ITM sangat laku di pasaran kerja. Itu kisah berpuluh tahun lalu meskipun ITM sudah berubah wajah namun Uitm tetap di hatiku. Zaman sudah jauh berubah peluang belajar sudah jenuh. Hinggakan jenuh pula kita memujuk anak-anak kita supaya rajin belajar. Pandai guna peluang yang ada .Dengan harapan ilmu yang ditmba serta pengalaman belajar di menara gading akan menjadikan mereka bijaksana bila keluar ke tengah masyarakat nanti. Zaman yang berubah sepatutnya dilaraskan dengan keazaman, ketekunan dan kegigihan untuk menjadi orang yang berilmu. Bukankah Allah telah berjanji meninggikan darjat orang yang berilmu berbanding dengan yang  tidak berilmu.Masih berpeluangkah kita membina  unique origin untuk melahir  unique future ? Kami perlu segera beredar kerana ada ada satu lagi temujanji.Telefon pun makin kerap berdering.Kami sudah sangat  lewat. Afwan!!!


Di  pintu masuk utama Samsung Digital Library SKKU