Saturday, July 16

Penang ke LCCT


17hb Jun, 2011: 5.30 pagi:Jumaat

Awal pagi  kami sudah bertolak . Kami tidak mahu terlewat kerana keadaan di Jambatan Pulau Pinang sukar diramal.Hari ini hari Jumaat. Kata suami jika kita bertolak sebelum subuh, dia tidak wajib solat Jumaat. Sebaik melangkah keluar rumah kami sudah dikira musafir. Setiba di Byan Lepas, kami segera mencari surau. Rupa-rupanya surau sudah berpindah ke tingkat atas. Airport sedang diubahsuai. Usai solat kami berbaris untuk daftar masuk. Bagasi ditimbang 22kg. Alhamdulillah, kami tidak perlu membayar.Di KL belum tahu lagi.  Menanti waktu berlepas kami berbual santai dengan anak , menantu dan cucu. Kesian Haziq terpaksa bangun awal untuk menghantar kami. Cadangan asalnya kami bertolak ke KL dengan kereta tetapi kerana majlis pertunangan anak saudara kami memutuskan naik dari Penang sahaja.

Kami tidak menunggu lama .Selesai berpamitan kami segera masuk ke balai berlepas. Bermulalah satu perjalanan. Yang dirancang berbulan-bulan yang lain. Berbagai halangan yang mungkin membantutkan rancangan. Bila Allah mengizinkan sudah pasti tiada apa yang dapat menghalang. Semuga perjalanan ini diberkati dan membuka mata serta minda untuk melihat kepelbagaian bangsa manusia. Berjalan, melihat dan mentafsir Siiru A'la Barakatillah.