Tuesday, November 4

Pasar 247


PASAR 247

“Alahai..ummi...pasar ikan pun nak pergi”
Komen anak di dalam kakao talk. Ketika kami merancang jadual  di Korea nanti.
“Eh mestilah .Abang dah berhutang sebab masa pergi dulu tak sempat bawa. Kali ni mesti pergi juga”  Saya mengugut.
Usai solat subuh di hari  ketiga selepas tiba di Seoul, kami sudah di hentian. Bas biru  yang tiba masih kosong. Kami menukar bas sekali lagi sebelum turun di Stesen Noryang-jin. Mata sudah teruja melihat papan tanda Fish Market; pasar ikan terbesar di Seoul yang menjual secara borong dan runcit.  Kalau naik teksi kabarkan sahaja hendak ke “Noryangjin su-san shi-jang”. 


Sebaik menuruni tangga jejantas hati sudah bersorak riang. Subhanallah!!!  Besarnya pasar ini.  Kalau saya sentiasa teruja bila menjejak kaki ke Pasar Siti Khadijah di  Kota Bharu,  inikan pula di sini. Pasar yang sungguh besar tapi disusun begitu rapi mengikut jenis hasil laut yang diperdagangkan.
Pendangan  dari atas  sahaja sudah memukau mata .Gandingan  warna hasil laut  ciptaan Allah , apron serta topi ajjuma dan diserikan pula dengan lampu-lampu yang bergantungan. Semua ini menghasilkan satu seni yang tidak mudah ditolak lensa kamera.


Memang rambang mata dibuatnya. Nampak siput saja, rasa nak pegang. Nampak ikan nak tempuh .Cuma bila nampak sotong  kurita ..isy....tak beranilah pulak sebab masih hidup dan jarinya menjalar-jalar.Geli..Tiba-tiba teringatlah pulak siri National Geografic tentang seorang penyelam ditelan sotong kurita.
Ketamnya....Masyaallah. Besarnya!  Ini bukan ketam nipah lagi King Crab kot. Bisik  Encik  Suami . Dia   meminta ajjuma  bertopi  merah menimbang seekor ketam merah.  Tahu tak  berapa beratnya ? 2.5kg , Dan  harga sekilo 54,000KW=300+RM. Untuk kami dia  tawarkan 50,000KW sahaja. Tapi kami menolak dengan baik sekadar teruja dengan kehebatan makhluk Allah itu.
 Kata ‘Ammar  “ Snow crab ni banyak pada musim sejuk. Kalau nak makan kena pejam mata sahaja dan ummi tolong jangan tukar ke RM.Alamat tak merasalah nak makannya.”
“Kalau nak beli pun.Adakah periuk besar  di rumah tu nak dimasaknya?”
“Orang beli bukan masak di rumah. Kita pilih dan nanti bawa naik restoran tingkat atas. Cakap nak rebus , kukus atau bakar...eh silap ..gril..kukus..panggang..kukus”
“Ingat ni iklan Panasonic ke?” Saya mencubit lengannya. 
Ummi ni dari abang kecil sampai besar tak habis –habis  bagi ketam batu kat abang “  
Kami ketawa sambil menepi bila ada suara ajjusi menjerit meminta laluan. Saya memerhati  pergerakan mereka. Begitu pantas meskipun bebanan yang dibawa tidak setimpal dengan tubuh kecil mereka. Menoak sambil berlari pantas di lantai yang basah ini.
Encik Suami sudah bergerak ke  hujung sana. Menala lensa kamera tanpa jemu-jemu.  Hobi yang dibawa sejak zaman muda dan kini diwarisi anak-anak . Jika dulu kami banyak merakam gambar anak-anak tetapi berlalunya masa dan meningkatnya usia objek-objek biasa dan luar biasa pula  menjadi pilihan . Kata orang  a picture speaks a thousand words. Merakam sebahagian  nikmat  Allah  sambil merenung ke dalam diri sebanyak  mana pula kita  menzahir rasa syukur itu.



Mata terus melingas entah apa yang dicari.  Menghargai kayanya   hasil laut yang Allah anugerahkan kepada hambaNya di bumi sebelah matahari naik ini Ada banyak sangat pilihan. Ikan berjenis-jenis, ketam ,udang, sotong dan siput beranika rupa , rasa dan sais. Yang hidup, yang mati tetapi semuanya segar-segar belaka.Dan harga yang ditawarkan hampir seragam.
Setiap kali ingin membeli pasti kami ditanya mahu digaramkan atau tidak. Pada mulanya saya menolak tetapi bila memahami  apa yang cuba diterangkan saya bersetuju. Rupanya  fungsi garam itu membantu mengekal rasa segar ikan. Bila pulang nanti dibersihkan  sahaja jika tidak mahu.
 Oh ya!! Sekadar pengetahuan ,  garam di Korea ini ada berbagai jenis  rupa , kandungan mineral di dalamnya dan tahap kemasinannya. Garam buluh yang terkenal di Malaysia itu berasal dari Korea rupanya. Setiap kali memasak saya selalu ditegur kerana lauk yang  agak kurang rasa. Err.saya memang  kurangkan garam. Mencegah lebih baik dari mengubati. Itu pesan Puan Ruqayyah, Pakar Dietetik dari HUSM ya!!


Selesai membeli di bahagian hadapan  kami berjalan—jalan melihat berbagai-bagai  barangan yang didagangkan. Ada yang telah dijerukkan  dan ada yang telah dikeringkan. Ikan besar-besar dari laut dalam seperti Salmon dan tuna juga terdapat di bahagian ini. Jika anda pengemar telur ikan bermacam jenis telur ikan yang ditawarkan. Buat gulai sedap ni!!
Rupanya makin ke dalam kita masuk makin murah harga yang ditawarkan. Kualiti ikannya juga makin berbeda namun semuanya masih segar-segar lagi. Nama pun pasar janganlah berharap sangat dapat layanan macam di supermarket. Kasut mesti sesuai dan bersedia jika kasut yang mahal tersimbah air yang sentiasa dialirkan bagi tujuan pembersihan.
Menurut ‘Ammar  syarikat-syarikat besar Korea biasanya  ada memberi kupon untuk pekerjanya berbelanja di pasar. Bertujuan menggalakkan warganya berbelanja di pasar tradisional sambil membantu peniaga di sini. Persaingan dengan hypermarket sangat sengit. Bukan di negara mereka sahaja di negara kita pun hypermarket tumbuh bagai cendawan. Sudah pasti mereka mampu menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding kedai runcit di kampong. Sudah pasti juga mampu menarik hati bakal pelanggan dengan segala kelebihan yang ada. Semua orang bersaing merebut secebis kek yang makin mengecil setiap hari.

“ Di sini ada  tak jual katak ?”

“Isy..ni pasar ikan lah ummi. Kalau nak kaki katak , cengkerik tu kena pergi tempat lain”

“Tak naklah..saja tanya.Bukan mereka ni makan segala jenis benda?”

Tiba-tiba saya teringat Pasar Pudu yang dikunjungi berpuloh tahun lalu. Masih terbayang bagaimana seorang peniaga  China memotong biawak  bersebelahan gerai ikan haruan yang dicari untuk mengubat penyakit lelah arwah mak.
Kami berhenti seketika melihat seorang ajussi menyauk seeekor sotong kurita yang agak besar..  Berkocak-kocak air dalam akurium itu ketika sang kurita melekat kuat di dinding akuarium. Dia tahu selagi jari-jari masih kuat mencengkam selagi itulah nyawa mampu dipertahanankan.

 Restoran di tingkat atas bersedia bila-bila masa untuk  membersih dan mencencangnya halus-halus atau kasar-kasar. Ikut kehendak pelanggan.   Pelanggan hanya perlu mencelup sotong mentah ini ke dalam sos bijan sebelum menyuapnya  ke mulut.  Meski pun agak menakutkan bila melihat sotong itu masih mengelepar di dalam pinggan. Tetapi demi memuaskan deria rasa dan keinginan  manusia mampu melakukan apa sahaja. Mereka yang pernah mencuba hidangan ini memuji  rasanya  yang manis dan isinya yang agak kenyal.. Jika masih terasa sotong terlekat di kerongkong cepat-cepat  dilalukan dengan segelas dua air. Saya ni bukan main lagi membayangkan jika jejari sotong itu membelit organ-organ dalam badan kita.

Betullah kata Ar Rasul.
Uncang makanan itu tempat sarang penyakit dan punca segala penyakit  dari makanan yang terlalu banyak, juga sabda Baginda yang bermaksud : “ berpuasalah kamu nescaya kamu menjadi sihat.” 

‘Ammar mengajak  saya ke bahagian belakang pasar.Di sana sedang berlangsung lelongan hasil laut. Khabarnya lelongan bermula sejak jam satu pagi dan tamat pada jam sepuloh pagi. Setiap pembida akan menekan satu alat dan jika harga yang ditawarkan diterima maka jurulelong akan pergi kepada barangan seterusnya.
Satu demi satu lori berlalu pergi bersama barang yang berjaya dibida. Hasil laut yang tadi telah melalui perjalanan yang panjang dan lama untuk sampai  ke sini kini terpaksa menempoh satu lagi perjalanan ke satu lagi destinasi yang tidak diketahui. Pasar tetap meriah meski hari kian meninggi.   Saya  pula merasa risau tak penatkah mereka berkerja tanpa henti ? Tujuh hari  seminggu dan dibuka  dua puloh empat  jam sehari. Saya melihat mereka makan dan minum ditempat mereka berniaga.

Kata Encik Suami  apalah  yang dipelikkan.  Jika pelanggan di luar sana sanggup menjual maruah dan harga diri untuk mendapat sedikit keenakan. Sudah pasti mereka sebagai peniaga sedia menawarkan apa yang pelanggan inginkan. Pasar ini menjadi  nadi kehidupan warga Korea. Dari sini hasil laut bergerak masuk ke hotel, ke restoran, ke rumah hatta ke istana Presiden atau Rumah Biru. Dan ada juga yang merentasi laut untuk bergerak keserata negara yang ada di dunia. Hebat sungguh Pasar Noryang-jin ini.

Saya berjalan perlahan-lahan menyusuri kedai-kedai yang menjual  hasil laut yang dikeringkan di bahagian paling belakang pasar. Kelihatan  ikan kering,sotong kering,  udang kering, ikan bilis, siput kering sehingga rumpai laut yang dikering bergulong-gulong banyaknya.Digantung disusun begitu kemas dan bersih sekali. Meskipun hanya sebuah pasar tetapi saya melihat ajaran Islam tercerna di sini. Tiada bau busuk yang menikam hidung atau mata yang sakit melihat sampah atau sisa jualan dibuang di sana-sini. 

Saya  mencari jawapan sendiri. Bagaimana mereka mengatur rakyat mereka hingga tiada yang membuang sampah merata-rata.  Meskipun  tangan berat membimbit barang belian tetapi hati lebih berat memikir bagaimana mahu merubah budaya masyarakat di tempat sendiri.

Di hujung hari  kami  berjaya membawa pulang sekilo udang dengan  harga 25,00KW, ikan tenggiri dua ekor 3,000KW, sotong sejuk beku 4,000KW untuk enam ekor  (sotongnya sais sotong kering ) , ikan sebelah  3,000KW dan ikan  parang juga 3,000KW.  Sambil bergerak ke Stesen Noryang-jin saya mencongak di dalam minda jumlah wang yang dibelanjakan. . Lebih kurang  40,000KW=RM120.00 .Biar betul??? Salah kira kot? Saya menyedapkan hati.


Namun Itulah realiti hidup. Jika  ingin menumpang teduh di negara berpendapatan  tinggi maka bersedialah juga untuk mengalirkan semula wang tersebut dengan lajunya dari dompet dan akaun  bank kita. Itulah rahsia untuk tinggal lama di Korea Selatan.