Thursday, August 4

KUL-ICN

Awan gemawan  putih bak kapas menguja pandangan 
 Cuaca baik sekali. Kami tiba di LCCT tepat jam 9.20 pagi. Selepas mengambil bagasi   kami segera mencari tempat makan. Pilihan kami  kopi, roti bakar dan telur. Sudah lama saya tidak terbang jauh. Risau juga jika masih mabuk macam dulu-dulu. Apa yang dimakan habis keluar semula. Selesai bersarapan kami berjalan-jalan melihat sekitar LCCT. Penat berjalan kami mencari tempat duduk. Suami membuka laptop. Saya cuba membaca tetapi  suasana hiruk pikuk menghalang tumpuan. Akhirnya saya hanya duduk memerhati orang di sekeliling. Di  hadapan saya seorang wanita Indon sedang nyenyak tidur .Selesa bangat nampaknya. . Letih atau bosan terlalu lama menunggu penerbangan.



Mengusir waktu di LCCT
Jam 11.30 pagi kami beredar  ke kaunter S25. Mujur sudah print boarding pass lebih awal jadi kami cuma perlu bag drop sahaja. Alhamdulillah..ngam-ngam saja 20kg. Kalau lebih kena bayar setiap 1kg=RM40.  Kami memang bawa sebuah  beg besar. Maklumlah kudrat suami yang baru lepas operation tu kena juga diambilkira.


Pukul 1 petang  masa untuk  pemeriksaan  keselamatan. Cuaca panas terik ketika kami bergerak ke pesawat. Kabin krew tersenyum manis menyambut . Kami segera ditunjuk  tempat duduk. Kerusi  sebelah suami masih kosong,.  Kalau mahu lebih  selesa  bolehlah memilih primeum  atau   hot seat. Tapi memikirkan penerbangan sekitar 6 jam sahaja kerusi ini sudah memadai. .. Tepat jam 13.55, flight D7 2682 pun berlepas. Hati saya tidak berhenti berzikir. Kuasa manusia tidak akan mampu menolak apa juga yang ditakdirkan. Doa saya agar kami selamat tiba ke destinasi.

Penat membaca saya mula  melelapkan mata .. Terjaga ketika makanan yang ditempah sedang disajikan. Menu pilihan kami nasi lemak pak Nasir dan Smokey BBQ Chicken . Maggi  hot cup nampaknya menjadi pilihan ramai penumpang.

Sebaik menolak styrofoam saya kembali  membaca. Buku Travelog Impian Hidup Abadi  sukar untuk dilepaskan.Perjalanan hidup tulisan isteri  Prof  Kamil begitu  menyentuh hati.  Dia yang membesar sezaman dengan saya begitu pandai menyusun kata . Saya sendiri terasa bagai kembali ke zaman lampau. .Sesekali  perbualan  penumpang Malaysia di belakang kami  agak menganggu. Kuat sungguh suara mereka sehingga dapat didengar segala buah butir. Suami saya memasang I phonenya mendengar bacaan qur'an. Merehatkan mata saya menekap muka ke cermin . Awan putih bak salji di bawah sana. Saujana mata memandang. Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah.




Keletihan  segera hilang bila kaki memijak bumi 
Suami membangunkan  saya . Sejam lagi kami dijangka tiba. Penumpang lain turut   beratur di depan tandas. Ditempat duduk   kelihatan rata-rata  penumpang  masih tidur, ada yang sedang membaiki make up , menonton dvd  dan sekadar berbual kosong.. Pesawat terus membelah kedinginan malam.  Borang imegrisen mula diedarkan.Kami mula membuka pasport masing-masing.


"We are approaching Incheon International Airport, the weather is fine " Saya memandang ke luar cermin. Nun jauh di bawah sudah kelihatan cahaya lampu berbalam-balam. Pesawat sedang merendah  dan saya terus berdoa. Mudahkanlah urusan kami nanti. Tepat jam 21.15 jam South Korea (8 malam waktu Malaysia) kami selamat tiba.Berguguran airmata membasahi pipi. Saya tidak pernah berangan-angan untuk ke sana. Tetapi bila Allah mengkehendaki maka jadilah. Manusia merancang tetapi Allah itu sebaik-baik perencana.


Pertama kali tiba di Incheon.sudah pasti kami teruja.Antara lapangan terbang terbaik di dunia.  Incheon kabarnya dibina di sebuah pulau buatan mengganti Airport Gimpo. Kami bersabar menunggu urusan imegresen  .Terus ke Gate 11 untuk mengambil bagasi. Segalanya berjalan lancar. Kami segera keluar.Bas terakhir ke Seo Suwon Bus terminal bertolak pada jam 10.30 malam.


Di balai ketibaan 'Ammar dan rakan-rakannya sudah menunngu. Selepas bergambar kami segera beredar keluar. Bas di sini biasanya tiba tepat pada masanya . Meskipun malam menghalang pandangan tapi saya tetap cuba menikmati suasana yang ada. 2 jam dijalanan   kami tiba di Suwon. Perlu pulak  mengambil teksi ke rumah anak di Yuljeon-dong. Tiba di rumah hari sudah dinihari. Kami membersih diri dan solat sementara anak pula sibuk memasak . Alhamdulillah, dapat juga mengalas perut  meskipun sekadar telur dadar dan ikan bilis goreng


Kami masuk tidur hampir jam 1.30 pagi. Sekali dua tidur terganggu .Bunyi enjin keretapi laju membelah malam.begitu jelas dipendengaran.  Suami seperti biasa tidak mudah melelapkan mata. Maklumlah malam pertama di tempat orang.Bila beralih tempat tidur tentulah mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Saya yang mudah tidur sudah pasti ghaib ke alam mimpi walaupun bagaikan terasa masa terawang-awang di udara.
Terima kasih Allah mengizinkan segalanya.